PERKARA UNTUK DITANYA KEPADA DOKTOR GIGI ANDA PADA HARI PENCABUTAN GIGI
Mencabut gigi boleh menjadi satu prosedur yang menggentarkan, tetapi dengan menyedari apa yang dijangka boleh membantu anda tenang sebelum prosedur tersebut. Di Polident kami mempunyai beberapa profesional yang pakar yang bekerja dengan kami termasuk doktor gigi seperti Dr Mounir Atassi. Di bawah ini Dr Atassi menggariskan soalan-soalan utama untuk dibincangkan dengan doktor gigi anda.
APA YANG BOLEH SAYA JANGKA DARI HARI TERSEBUT?
Memahami dengan tepat apa jadual hari itu boleh membantu anda berasa senang, dan kami sentiasa berbesar hati untuk menerangkannya.
Prosedur biasa dalam mencabut gigi adalah:
- Anda akan diberi beberapa suntikan supaya gigi dan gusi di sekelilingnya menjadi kebas.
- Apabila anestetik itu telah berkesan, doktor gigi anda akan menggoyangkan gigi itu untuk meluaskan soketnya.
- Apabila ia sudah cukup longgar, doktor gigi anda akan mencabut gigi itu dengan forseps.
- Doktor gigi anda kemudiannya akan menghentikan sebarang pendarahan dan mencuci soket tersebut dengan kain kasa.
- Kemudian doktor gigi anda akan menerangkan cara penjagaan selepas pencabutan gigi.
ANESTETIK APA YANG AKAN SAYA TERIMA?
Kebanyakan orang hanya memerlukan anestetik setempat dan anda sepatutnya tidak berasa apa-apa semasa pencabutan gigi. Bagaimanapun, jika banyak gigi yang dicabut atau dalam kes lain yang jarang berlaku, doktor gigi anda mungkin mencadangkan anestetik umum. Tanyalah doktor gigi atau juruhigin anda dan mereka akan berbesar hati untuk membantu.
BAGAIMANA SEPATUTNYA SAYA BERSEDIA UNTUK HARI TERSEBUT?
Adalah penting untuk anda mengetahui prosedur sebelum pencabutan untuk membantu perjalanan yang lancar sepanjang hari tersebut dan mengelakkan sebarang penangguhan atau pembatalan.
Panduan umum untuk pembedahan di bawah anestetik setempat:
- Bincangkan dengan doktor gigi anda sebarang sejarah perubatan atau alahan
- Anda boleh mengambil sarapan ringan dan air beberapa jam sebelumnya, tetapi berus dan gunakan flos sebersih-bersihnya.
- Jangan merokok dalam 12 jam sebelum pembedahan atau pada hari pembedahan.
- Beritahu doktor gigi anda jika anda mengalami demam selesema yang berat atau flu, kerana anda mungkin perlu menukar jadual janji temu anda.
APA YANG ADA YANG BOLEH MEMBANTU JIKA SAYA BENAR-BENAR CEMAS TENTANG PEMBEDAHAN ITU?
Berasa cemas adalah sama sekali normal, tetapi berita baiknya terdapat beberapa pilihan bagi membantu anda berasa senang sebelum diberi anestetik
Doktor gigi anda mungkin menawarkan pilihan seperti nitrus oksida, suntikan atau tablet sedatif. Dan jangan risau, anda akan sedar sepenuhnya dan responsif, tetapi tenang.
Jika anda tidak mahu menggunakan ubat, terdapat cara yang bukan perubatan bagi melegakan rasa cemas, seperti teknik pernafasan terkawal dan pengenduran otot progresif.
Minta doktor gigi anda memberi nasihat tentang ini.
BERAPA LAMA SAKIT ITU BERTERUSAN SELEPAS GIGI DICABUT?
Mengetahui apa yang dijangkakan boleh membuatkan ia lebih mudah untuk dihadapi. Dengan bercakap dengan doktor gigi anda, anda akan dapat gambaran yang baik tentang potensi kesakitan dan pembengkakan yang anda boleh alami selepas pencabutan gigi
Anda boleh menjangkakan pembengkakan di dalam mulut anda dan sedikit ketidakselesaan apabila anestetik hilang kesannya, tetapi yang pasti kesakitannya akan meringan dalam 24-48 jam.
Doktor gigi anda boleh juga mengesyorkan ubat tahan sakit di kaunter yang anda boleh guna.
ADAKAH SAYA AKAN KELUAR DARI PEMBEDAHAN DENGAN GIGI PALSU YANG TELAH SIAP?
Ini adalah soalan yang baik, kerana sesetengah pesakit tidak keluar dari prosedur dengan gigi palsu tetap mereka. Ada yang diberi gigi palsu sementara dan ada yang keluar dengan dibiarkan ruang tersebut kosong.
Jika anda diberi gigi palsu sementara (juga dikenali sebagai gigi palsu segera), ia biasanya dibuat selepas mengambil impresi mulut anda pada janji temu yang sebelumnya dan akan terus masuk selepas pembedahan.
Sementara menunggu bahagian pencabutan pulih sebelum gigi palsu tetap anda dipasang, gigi palsu sementara membuatkan mulut anda kelihatan dan berasa lebih baik, dan membolehkan anda makan dan bercakap seperti biasa. Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan penyesuaian kerana gusi dan tulang berubah bentuk semasa proses pemulihan.
Jika anda membiarkan ruang tersebut kosong, tanya doktor gigi anda berapa lama ia ambil sebelum gigi palsu anda dipasang.
BOLEHKAN SAYA BEKERJA ATAU MEMANDU PADA HARI ITU?
Ini boleh membantu anda merancang awal bagi memohon cuti kerja jika perlu dan membuat perancangan perjalanan.
Dalam kebanyakan kes, anda sepatutnya boleh kembali terus kepada rutin harian anda, tetapi ramai doktor gigi mencadangkan supaya anda tidak memandu, maka anda perlu menaiki teksi atau minta seseorang menjemput anda. Jika anda telah diberi anestetik umum, anda perlu tinggal di bilik pembedahan lebih lama.
BILAKAH SAYA BOLEH MEMBERUS GIGI SEPERTI BIASA DAN APA PENJAGAAN SELEPAS PENCABUTAN GIGI YANG PATUT SAYA PATUHI?
Anda boleh memberus terus gigi anda yang masih ada sebaik selepas pencabutan gigi – anda hanya perlu berlembut dan jauhi soket gigi tersebut dan elakkan pembilasan mulut atau berkumur berlebihan dengan cecair, supaya anda tidak mengganggu darah beku yang baru terbentuk. Satu tip bagus adalah menggunakan berus gigi yang lembut untuk beberapa hari pertama.
Kebersihan mulut adalah penting terutamanya selepas pencabutan gigi untuk mengelakkan jangkitan atau komplikasi lain, jadi adalah baik untuk memahami bila ia selamat untuk memberus gigi semula selepas pembedahan tertentu anda.
APAKAH TANDA-TANDA AMARAN YANG PATUT SAYA PERHATIKAN SELEPAS ITU?
Membincangkan soalan-soalan ini dengan doktor gigi anda akan membantu anda berasa yakin, senang dan terkawal sebelum hari pencabutan gigi.
Cetak senarai di bawah dan bawa bersama pada janji temu anda yang seterusnya, catat sebarang soalan tambahan yang anda ada.
Dengan mengetahui apa yang normal dan apa yang tidak, anda boleh bertindak lebih cepat untuk menghentikan masalah daripada semakin teruk. Jika anda mengalami pembengkakan yang teruk, demam atau anda tidak bertindak balas kepada ubat tahan sakit, ia boleh jadi satu tanda jangkitan atau komplikasi lain. Tidak perlu panik, hubungi sahaja doktor gigi anda.